Tuesday 15 November 2011

pengajaran Al-Insyirah



Daripada ayat dan tafsir di atas, dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran iaitu:

1) Allah itu Maha Adil, tidak sesekali Dia meletakkan sesuatu ujian di luar kemampuan makhluknya, seperti mana dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah (2:286). Ayat ini disokong dengan ayat keenam Surah Al-Insyirah di mana kesusahan akan disertai kemudahan.

2) Allah mengajar makhluknya bersabar dan yang paling penting percaya dengan janji Allah. Cuba sahabat bayangkan, andai kata kita tidak yakin bahawa kemudahan pasti datang selepas kesusahan pasti kita akan cepat melenting dan bertindak di luar batasan apabila kita diuji dengan ujian yang berat. Maka, dengan adanya janji Allah ini kita mampu membentuk diri menjadi insan yang redha dengan ujian yang menimpa.

3) Ayat ketujuh surah ini mengajar kita untuk bersifat sistematik. Subhanallah, betapa Islam itu agama yang memberi panduan untuk penganutnya bukan hanya perintah untuk melakukan ibadah semata-mata. Ini menunjukkan betapa syumulnya (sempurna) Islam. Ilmu pengurusan yang boleh dipelajari dari ayat ini ialah; kita perlu menyenaraikan kerja kita dan melaksanakannya mengikut keutamaan. Apabila selesai satu kerja, barulah kita melakukan kerja yang seterusnya.

4) Allah menyeru kita bersungguh dalam melakukan amal soleh. Ya, bersungguh-sungguh. Inilah masanya untuk kita bermuhasabah. Saya mengingatkan diri sendiri juga untuk turut mengubah diri supaya lebih bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Kadangkala memang kita sudah siapkan sesuatu kerja, tapi adakah cukup usaha yang kita curahkan? Betulkah cara kita menyiapkan kerja? Adakah unsur leka dan lalai di dalamnya? Sama-samalah kita renungkan…

5) Akhir sekali ayat ini menyeru agar kita memohon kepada Allah untuk mendapatkan perkara yang kita inginkan. Satu perkara yang saya terfikir; kaitan antara ayat 7 dan 8. Kaitan antara usaha yang bersungguh-sungguh dengan amalan berdoa. Ini menunjukkan bahawa tiada jalan pintas untuk kejayaan, ia perlu dirintis dengan usaha yang mantap dan akhirnya barulah kita berdoa dan bertawakal kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment