Monday 21 November 2011

tafsir Al-Balad




Surah ini dimulakan dengan sumpah. Banyak surah yang dimulakan dengan sumpah. Ia menandakan selepas daripada sumpah itu, Allah ingin menyampaikan perkara yang sangat penting.

Allah bersumpah dengan ‘al Balad’yang merujuk kepada Mekah. Ini menunjukkan bahawa tanah Mekah merupakan tanah yang mulia dan diberkati Allah. Ia juga dikenali dengan tanah haram yang memberi erti bahawa banyak perkara tidak boleh dilakukan ketika berada dalam tanah haram. Antaranya mencabut tumbuhannya, membawa balik sesuatu yang menjadi milik tanah haram seperti tanah dan batunya.

Ayat 2 merujuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. bertujuan untuk memuliakan rasulullah s.a.w. yang dilahirkan di tanah yang mulia, dan dilantik sebagai nabi terakhir di tanah yang mulia.

Allah ingin menekankan dalam ayat 4 bahawa manusia sentiasa dalam keadaan kesusahan, sama ada jasmani dan rohani. Antara kesusahan yang dialami manusia ialah susah menyara kehidupan, susah melahirkan anak, susah mencari harta benda, susah beramal kebajikan dan lain-lainnya. Kesusahan fizikal yang berlaku biasanya membawa kepada kesusahan kepada rohani juga.

Sebab itu dalam ayat ke 5, Allah membuat pertanyaan “adakah manusia mengira tiada seorang yang dapat berkuasa terhadapnya?” bertujuan mengingatkan manusia yang lupa asal usul, bahawa segala harta yang diperolehi dan ke mana dibelanjakan akan ditanya oleh Allah. Lihatlah ayat 7 menekankan bahawa Allah maha mengetahui segala isi hati manusia walaupun makhluk lain tidak mampu membongkarnya.

Seterusnya Allah mengingatkan manusia dalam ayat 8 dan 9 bahawa segala nikmat yang besar-besar seperti kurniaan dua mata, lidah dan bibir merupakan kurniaan Allah sebagai bukti kekuasaan dan kekayaanNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis qudsi yang maksudnya,

“ Allah berfirman: Hai anak Adam, Aku telah memberimu nikmat yang amat banyak, engkau tidak akan dapat menghitungnya dan mensyukurinya. Dua mata untuk engkau melihat dengannya dan aku beri tutup maka gunakan untuk melihat benda yang Aku halalkan dan apabila engkau melihat benda yang Aku haramkan maka tutuplah matamu. Juga Aku beri lidah kepadamu, juga Aku beri alat penutupnya, maka gunakannya untuk mengucapkan apa yang Aku perintahkan dan halalkan bagimu, jika ada sesuatu yang aku haramkan maka tutuplah rapat-rapat lidahmu, juga aku berikan kepadamu kemaluan dan Aku beri tutup, maka pergunakanlah kemaluanmu itu untuk apa yang Aku halalkan dan jika ada sesuatu yang Aku haramkan maka tutuplah. Hai anak Adam, engkau tidak sanggup menanggung murkaKu dan tidak kuat menerima seksa pembalasanKu.”

Lalu Allah menyebutkan dalam ayat ke 10 bahawa manusia diberi pilihan sama ada mengikuti jalan baik atau jalan jahat[1].

Tapi manusia tidak mahu menempuh kesusahan(ayat 11) dengan melakukan kebajikan seperti memerdekakan hamba(ayat 13), memberi makanan kepada orang yang kebuluran(ayat 14) atau kepada anak yatim dan kaum kerabat(ayat 15), atau kepada orang miskin yang melarat(ayat 16).

Umumnya manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu kanan dan kiri. Golongan kanan(ayat 18) ialah ahli syurga yang berpesan-pesan dengan kesabaran dan kasih sayang di dunia(ayat 17). Manakala golongan kiri merupakan orang-orang kafir(ayat 19) yang sengsara hidupnya di akhirat akibat dihumban ke dalam neraka yang bersifat menutup mereka(ayat 20).

No comments:

Post a Comment